Pages

Monday, May 21, 2012

Demonstrasi menurut Perspektif Islam: Pandangan Dua Sisi..

Assalamualaikum...

bertemu lagi...tanpa wajah dan suara...

sebenarnya tengah dalam keadaan 'stress' mengejar dateline yang semakin hampir namun tugasan tidak juga selesai... idea yang tersekat..... hilang punca..... penulisan yang lari dari topik.... pengenalan cerita lain..... isi cerita lain..... kesimpulan cerita lain..hasilnya.... semuanya jadi haru biru...

namun....dalam menggagahkan diri untuk menyelesaikan juga tugasan-tugasan ini demi menyahut seruan menuntut ilmu...jari ini mengklik blog demi blog untuk mencari dan berkongsi ide...rasa tertekan terhilang sedikit apabila membaca perkongsian-perkongsian rakan-rakan blogge..... dan untuk hari ini.... hati amat tertarik untuk berkongsi satu entri dari blog yang diziarahi :

http://hjanhar.blogspot.com

mari kita sama-sama cuba memahami...

SURAT TERBUKA BUAT PENSYARAH DAN PENYELIDIK

1. Menonton rakaman Astro 502 yang berlangsung jam 10.30 malam pada 30 Jun 2011 yang lalu, menimbulkan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan. Dua ahli panel membahaskan tajuk yang berkaitan dengan demonstrasi. Panel pertama adalah pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan panel kedua adalah seorang penyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Kuala Lumpur, tajuk yang dibincangkan ialah Demonstrasi Dari Kacamata Islam.

2. Apabila ingin melihat sesuatu isu dari kacamata Islam, maka kita perlu adil dan amanah dalam perbincangan yang diadakan. Menyebut satu pandangan sahaja dan mendiamkan pandangan lain yang pelbagai yang sepatutnya juga diketengahkan adalah bukan metodologi yang baik untuk seorang pensyarah dan penyelidik, kerana kesannya ialah kesimpulan hasil kajian yang tidak tepat dan mantap. Tidak dinafikan hampir keseluruhan yang disebutkan oleh kedua-dua ahli panel adalah benar, tetapi ia hanya dari satu sisi sahaja. Tidak menyebut sisi yang lain dianggap menyembunyikan fakta dan kebenaran. Perlu ditekankan bahawa kacamata tidak hanya mempunyai satu cermin. Jadi tulisan ini ingin menyentuh satu lagi sisi yang lain, agar dapat dikembalikan semula cermin kedua yang melengkapkan kacamata tadi.

3. Pada peringkat awal lagi panel pensyarah telah membuat kesimpulan bahawa demonstrasi bukan daripada Islam hanya dengan kaedah logik dalam teknik menanyakan soalan. Ketika diajukan soalan: Demonstrasi dari mana? Lantas dengan mudah beliau menjawab: Apabila soalan itu keluar, memang jelas menunjukkan demonstrasi bukan daripada Islam. Ini bukan kesimpulan yang lahir daripada kajian dan hujjah, bahkan ia tiada nilai ilmiah. Tambahan pula perumpamaan yang yang cuba dibawakan sebagai qias iaitu nasihat, adalah qias yang tidak cukup syarat, kerana hukum yang dinyatakan bukan hukum yang sama. Panel pensyarah juga menyatakan bahawa berlaku perselisihan yang kuat dalam perkara ini. Sedangkan apabila wujud perselisihan maknanya ada yang membenarkan dan ada yang tidak membenarkan. Kedua-duanya adalah pandangan yang perlu dibahaskan kerana sudah pasti kedua-duanya mempunyai dalil yang kuat, kerana jika tidak, mana mungkin beliau menyebut berlaku perselisihan yang kuat. Bahkan semua perbuatan manusia tidak akan terlepas daripada lima hukum taklifi sebagaimana yang dibahaskan dalam ilmu Usul Feqh, termasuklah juga demonstrasi, kerana ia adalah perbuatan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 36 yang bermaksud:
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, serta hati, semua anggota-anggota tersebut tetap akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dilakukannya.

4. Ketika panel pensyarah menyamakan demonstrasi dengan apa yang berlaku pada zaman Saidina Uthman RA selaku khalifah ketiga, sebagai demonstrasi yang membawa kepada kewafatannya, definisi yang mana yang digunakan oleh beliau? Kerana terdapat pelbagai istilah yang mempunyai definisi yang berbeza-beza, antaranya al-bughat, al-mu’aradhah, khuruj ‘ala al-imam, al-Khawarij dan sebagainya. Definisi yang berbeza-beza menyebabkan hukum juga berbeza-beza. Menyamakan semuanya boleh menyebabkan kecelaruan hukum. Menyamakan semuanya juga menyebabkan semua demonstrasi perlu disamakan hukumnya, tidak kira siapa yang melakukannya dan di mana-mana negeri sekalipun. Oleh itu, beliau sepatutnya mendefinisikan dahulu, yang manakah yang beliau maksudkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

5. Hakikatnya demonstrasi itu berbagai-bagai, jika demonstrasi yang bertujuan untuk membunuh dan membuat huru-hara maka ia ditegah dan diharamkan oleh Islam, sama seperti yang berlaku kepada khalifah Uthman RA. Tetapi terdapat demonstrasi yang bertujuan untuk menyuarakan pandangan, sama ada pandangan menyokong atau pandangan membantah yang dilakukan secara tertib dan aman, seperti demonstrasi membantah serangan Amerika ke atas Iraq, maka sukar untuk kita simpulkan bahawa Islam menegahnya. Larangan dalam feqh Islam juga ada konteksnya, kerana terdapat larangan bukan kerana zatnya haram, tetapi ia haram kerana faktor lain. Boleh jadi panel pensyarah lebih arif tentang hukum jual beli pada waktu Jumaat yang hukumnya haram, tetapi jual belinya tetap sah.

6. Bantahan dan pandangan lain dalam sesuatu perkara telah wujud sejak zaman nabi SAW. Maknanya nabi SAW seorang pemimpin yang juga mendapat bantahan. Pernah seorang sahabat bernama al-Hubab bin al-Munzir membantah nabi SAW ketika menentukan tempat perkhemahan tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra. Yang menariknya nabi SAW menerima bantahan dan pandangan tersebut lantas melaksanakannya. Diriwayatkan bahawa al-Hubab memberi pandangan kepada nabi SAW:
Kami berpandangan bahawa perlu kuasai punca air keseluruhannya bukan hanya satu punca air sahaja, nescaya ke atasnya kita akan be
rhadapan dengan mereka. (Riwayat al-Baihaqi)

7. Terdapat banyak lagi contoh bantahan yang berlaku pada zaman nabi SAW, ada yang diterima dan ada yang ditolak, yang penting bantahan tetap wujud. Begitu juga pada zaman Khulafa’ al-Rashidin. Contohnya pada zaman Umar al-Khattab RA, ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan Umar kerana tidak menyerahkan tanah Iraq, Syam dan Mesir kepada tentera Islam. Tentera Islam yang jumlahnya ramai itu telah meminta kepada Umar RA supaya disamakan dengan ghanimah (harta rampasan perang) iaitu diserahkan kepada mereka sebagaimana yang berlaku dengan tanah Bani Nadhir dan Bani Quraidzah. Ini menunjukkan pandangan lain dan bantahan memang wujud. Ia tidak boleh dihapuskan dan dimatikan dengan menghukumkannya haram, sebaliknya ia perlu diurus. Bagaimana nabi SAW dan Umar RA mengurus bantahan inilah yang wajar diketengahkan.

8. Bagi panel kedua pula, sebagai peyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Kuala Lumpur nampaknya agak keliru di antara ‘Am dan Mutlak, kerana secara jelas beliau telah menyamakan di antara kedua-duanya. Sekiranya orang awam yang keliru di antara kedua-duanya dengan menyamakannya tidak menjadi masalah, kerana mereka adalah orang awam yang tidak mendalami ilmu al-dalalat, tetapi kalau seorang yang jawatannya penyelidik masih keliru dan menyamakan kedua-duanya, maka dia perlu lakukan lebih banyak lagi penyelidikan agar dapat mengetahui perbezaannya. Paling minimum yang perlu diketahui perbezaannya ialah ‘Am adalah syumuli (menyeluruh), manakala mutlak adalah badali (ganti). Panel penyelidik ketika membicarakan kewajipan taat kepada pemimpin telah memetik dalil daripada firman Allah SWT daripada surah al-Nisaa’ ayat 59 bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan kepada uli al-amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.

9. Memang lafaz uli al-amri adalah ‘am dari aspek cara perlantikan iaitu semua cara, sama ada syura, pewarisan (waliyu al-‘ahd) dan sebagainya, tetapi ia tidak mutlak sebagaimana yang didakwa. Taat kepada Allah dan rasulNya adalah mutlak, tetapi taat kepada uli al-amri adalah tidak mutlak kerana ia diqaidkan (terikat) dengan syarat selagi tidak menyuruh melakukan maksiat. Imam al-Qurtubi (671H) menyatakan tentang ayat ini:
Berkata Ibn Khuwaiz Mindad: Dan adapun taat kepada pemerintah, maka ia wajib pada perkara ketaatan kepada Allah, dan ia tidak wajib pada perkara maksiat kepada Allah. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an)

10. Ini juga yang telah disebut oleh para mufassirin yang lain seumpama al-Tabari (310H) dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aiy al-Qur’an, Ibn al-‘Arabi al-Maliki (543H) dalam Ahkam al-Qur’an, Ibn Kathir (774H) dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, dan lain-lain lagi. Penyelidikan yang dilakukan oleh panel yang tidak menjumpai tidak mutlaknya ketaatan ini, sebaliknya menyamakan pula di antara ‘am dan mutlak, tidak menggambarkan jawatannya sebagai penyelidik. Kalaupun ada keuzuran untuk menemuinya dalam kitab-kitab tafsir, hadith yang digunakan oleh beliau juga sebenarnya sudah cukup untuk menjadikannya muqaiyad (terikat), namun malangnya beliau tidak membaca matan hadith dengan lengkap yang terdapat dalam riwayat yang lain. Diriwayatkan daripada Ummu al-Husain bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Wahai manusia bertakwalah kepada Allah, walaupun dilantik ke atas kamu seorang hamba Habsyi, maka hendaklah kamu dengar dan taat, selagi mana dia menegakkan kitab Allah dalam (menghukum) kamu. (Riwayat al-Tirmizi)

11. Jelas dalam hadith ini ia tidak mutlak, sebaliknya ia diqaidkan (diikat) dengan syarat mesti melakukan hukuman dengan kitab Allah. Mustahil beliau tidak menjumpai matan ini dalam penyelidikan yang dijalankan, lalu tidak menyebutnya dengan lengkap. Jadi, sebagaimana kitab-kitab feqah mewajibkan mentaati pemerintah yang dilantik dengan apa cara sekalipun, kitab feqah yang sama juga, bahkan kitab-kitab tafsir dan syarah hadith mensyaratkan pemerintah yang bagaimana yang wajib ditaati, kerana ia tidak mutlak.

12. Ibn al-Qaiyim al-Jauziyah (751H) merakamkan kata-kata Ibn ‘Aqil yang membuat komentar terhadap kata-kata Imam al-Shafi’e (204H) ketika menyebut:
Tiada politik melainkan apa yang menepati syara’. Ibn ‘Aqil berkata: Jika yang engkau (Imam al-Shafi’e) maksudkan daripada kata-katamu tiada politik melainkan apa yang menepati syara’ iaitu apa yang tidak menyalahi yang disebut oleh syara’ maka ia betul. (Ibn al-Qaiyim, Turuq al-Hukmiyah, hlmn 25)

13. Panel yang merupakan penyelidik juga ketika menceritakan kisah seorang pemimpin yang zalim iaitu al-Hajjaj bin Yusof al-Thaqafi (95H), dengan mudah membuat rumusan bahawa tidak ada seorangpun sahabat atau ulama’ pada waktu itu yang mengatakan boleh memerangi al-Hajjaj. Mungkin beliau keliru dengan penyelidikannya kerana asyik mencari fatwa yang membolehkan memerangi al-Hajjaj. Kisah al-Hajjaj membunuh anak para sahabat, tabi’in dan orang ramai, sudah cukup membuktikan berlakunya bantahan dan penentangan. Masih memerlukan fatwa juga ke? Kerana mereka membantah dan menentanglah mereka dibunuh. Tidak akan dibunuh jika tidak membantah dan menentang. Terlalu sukarkah untuk memahami mantuq dan mafhum ini. Imam al-Tirmizi (279H) menyatakan:
Dia (al-Hajjaj) dipanggil pendusta al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid wa al-Mubir al-Hajjaj bin Yusof… Hisham bin Hassan berkata: Mereka mengira jumlah yang dibunuh oleh al-Hajjaj sebagai sabar seramai seratus dua puluh ribu orang. (Sunan al-Tirmizi)

14. Dicadangkan juga kepada panel, sebagai seorang penyelidik agar memberikan komentar terhadap tindakan beberapa tokoh para sahabat seperti Saidina Husin bin Ali dan Abdullah bin Zubair pada ketika itu, jika ingin mengetahui wujud atau tidak mereka yang menentang dan memerangi al-Hajjaj. Pengkaji sejarah sedia maklum akan pendirian mereka berdua. Begitu juga dengan kumpulan para tabi’ien seumpama al-Sya’bi, Ibn Abi Laila dan Sa’id bin Jabir yang telah keluar bersama Ibn al-Asy’ath daripada kepimpinan al-Hajjaj. Hayati dan telitilah kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal (241H) ketika menceritakan bagaimana Sa’id bin Jabir dibunuh dengan kejam oleh al-Hajjaj. Puncanya kerana Sai’d membantah dan menentang al-Hajjaj. Lebih cermat dan selamat jika panel tidak malakukan ta’mim (pukul rata) dalam kenyataannya, kerana ia boleh terjerumus kepada kesilapan dan menunjukkan kelemahan penyelidikannya.

15. Elok juga dikongsikan beberapa pandangan imam mazhab yang sangat tegas tentang politik untuk kita memahami suasana yang berlaku pada zamannya. Imam Abu Hanifah (150H) sebagai contoh menegaskan bahawa Khilafah Islamiah yang sebenar telah berakhir dengan pembunuhan Saidina Ali RA, dan menyatakan bahawa pemerintahan Bani Umiyah dan Abbasiyah adalah tidak syar’ie. Buktinya Imam Abu Hanifah menyuruh orang ramai supaya memberikan sokongan kepada Ibrahim al-Imam dan saudaranya Muhammad al-Nafs al-Zakiyah, iaitu ketika keluar daripada kepimpinan al-Mansur al-‘Abbasi (158H). (rujuk Dr. Mustafa al-Shak’ah, Islam Bi La Mazahib, Beirut, hlmn 359). Selain itu, Imam Abu Hanifah adalah seorang yang sangat menghormati dan mengutamakan hak kebebasan individu, tidak ada sesiapapun yang boleh merampasnya. Ini dapat dikesan dalam feqhnya seperti menegah wilayah ke atas wanita yang baligh dan berakal, begitu juga larangannya dalam menahan harta bagi seorang yang berakal sama ada safih atau tidak. Imam Abu Hanifah juga berkata:
Pemilihan umum bagi seorang khalifah wajib lebih dahulu daripada perlantikan kekuasaannya. (Abu Zuhrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah, Dar al-Fikr al-‘Arabi, jilid 2, hlmn 166)

16. Imam Malik bin Anas (179H) pula terpaksa berhadapan dengan seksaan kerana bantahannya secara terbuka terhadap cara perlantikan khalifah yang tidak betul pada waktu itu. Imam Malik dengan tegas menyebut hadith nabi SAW tentang talak yang tidak jatuh jika dilakukan dengan cara paksaan. Ia telah menyebabkan kemarahan Ja’far bin Sulaiman (ayah saudara al-Mansur), gabenor Madinah kerana kefahaman daripadanya ialah tidak sah bai’ah yang beliau perolehi hasil daripada cara paksaan. Dengan itu Imam Malik diseksa kerana kenyataannya itu. Namun, orang ramai bangkit dan membantah beramai-ramai terhadap tindakan yang dikenakan kepada Imam Malik yang akhirnya menyebabkan Khalifah al-Mansur (158H) tunduk dan akur dengan kehendak orang ramai, lalu memecat Ja’far daripada jawatannya dan membebaskan Imam Malik.

17. Ini adalah sebahagian daripada persoalan yang timbul selepas menonton rakaman perbincangan kedua-dua ahli panel pensyarah dan penyelidik beberapa hari lepas. Ia hanya pandangan dari sisi yang lain yang mungkin tidak sempat dikupas dengan lebih terperinci oleh kedua-dua ahli panel kerana kekangan dan hambatan masa.

18. Kesimpulannya, menggunakan kaedah yang betul dalam sesuatu bidang menjamin kemantapan dan ketepatan kesimpulan, ia lebih utama apabila dikaitkan dengan kacamata Islam. Buat mereka, surat ini terbuka.

Sunday, May 13, 2012

Dari Lubuk Hati Anak...

Berkongsi nukilan suami tercinta ZULKIFLI ABD MUBI...
buat insan yang bergelar....
IBU, MAK, UMI, MAMA, MUMMY, BONDA etc..




Al fatihah buat
bonda Syarifah Akbal Hanum Syed Hussein Al Kherid
&
bonda Saadiah binti Abdul Manan
Semoga kalian tenang di negeri abadi...

Ibu,
Kau yang mengerti,
sejak ku dikandung di alam yang Zulam,
Kau sinarkan dengan zikir, nyanyian memuji penciptaan Ilahi,
Walaupun Kau merintih dalam diam,
Walaupun Kau penat melayan kesibukan harian,
Walaupun Kau lesu melayan fitrah semulajadi seorang Ibu,
Namun Kau tetap tabah, sabar,
Meredhai fitrah kehidupan.

Ibu,
Kau yang mengerti,
Aku dilahirkan cukup sempurna,
Fizikal aku dibalut dengan kain putih,
Rohani aku disalut dengan alunan azan yang mendayu,
Aku menangis tanpa paksaan,
Terkebil-kebil mataku memandang alam,
Tidak memahami, Tidak mengetahui,
Ciptaan Ilahi membawa erti,
Kelahiran bermakna penuh menanti.

Ibu
Kau yang mengerti,
Bermulalah kehidupanku dengan kesengsaraanmu,
Dengan maulidku,
Tiada sesaat yang menyelesakanmu,
Hidupmu bertemankan kesakitan,
Jasadmu bertemankan kelesuan,
Batinmu bersahabatkan keemosian,
Namun rohmu tetap utuh berpaksikan keimanan,
keredhaan dan Ketakwaan.

Ibu,
Kau yang mengerti,
Semenjak aku dilahirkan,
Hingga menjadi seorang graduasi,
Sakit, peningku kau tangani,
Sedih dan tawaku kau layani,
Tanpa mengharapkan belas,
Tanpa mengimpikan balasan,
Nur Keikhlasan terpancar,
Dek kasih bersemai dinaungi ilahi.

Ibu,
Aku yang tidak mengerti,
Jasamu ibarat gunung,
Kasihmu tiada bersempadan,
Harapanmu tinggi melangit,
Ku alpa, ku leka,
Kasihku tidak sehebatmu,
Jasaku tidak setandingmu,
Prihatinku tidak sepeka denganmu,
Mentaati nafsu mengingkari tuntutan Rabb.

Ibu,
Aku yang mengerti,
Tawa riangmu tiada di sisi,
Sedih, pedih hatimu tiada diubati,
Hanya kenangan menyegarkan memori,
Kau pergi di saat anakmu menyedari,
Budimu tak terbalas, kasihmu tak aku puas,
Seluruh alam diberi tak setimpal pengorbananmu,
Pengorbanan seorang Ibu,
Hanya engkau yang tahu.

Ibu,
Aku semakin mengerti,
Walaupun Kau menghadap Ilahi,
Namun aku tetap anak,
Anak yang mendoakan kebahagiaanmu,
Anak yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraanmu,
Anak yang mencintai dan merinduimu selalu,
Anak yang memohon pertolongan daripada Ilahi,
Moga kau di sana, tenang dan damai,
Setenang dan sedamai wajah suci murnimu,
Dinaungi dan dirahmati Ilahi,
Dikelilingi roh-roh muttaqin,
Jannatul firdaus kuidami dan kuhajati,
Untuk Ibu yang ku amat sayangi
Hanya itu yang kumampu lafazkan dan tunaikan.
Amiin, Ya Rabbal 'Alamin




Friday, April 13, 2012

Mahalnya Sakit...


Assalamualaikum....bertemu kembali di alam tanpa suara...

Alhamdulillah...usai menonton slot Tanyalah Ustazah hari ni... terasa semangat yang semakin pudar kembali semula...rasa ' segar'....rasa terisi dan bermotivasi..(^_^)

Bagi yang sama-sama menonton slot hari ini pasti bersetuju bahawa cukup banyak nasihat serta peringatan yang disampaikan oleh Dr Rubiah K Hamzah. Sememangnya jika nak dihuraikan kembali sungguh panjang lebar...sudah pasti akan berlaku ketaksampaian atau kecairan maklumat....manakan tidak..slot satu jam kalau nak hurai mahu ambil masa dua jam..so kalau dalam masa yang tidak sampai sejam ni..maklum sajalah..:)


Walaubagaimanapun...inginku berkongsi sedikit intipatinya bersama-sama....


Kenapa dikatakan "Mahalnya sakit"?
Sakit tu adalah jalan ke syurga..sakit akan menggugurkan dosa2...syaratnya kita mesti redha..sakit seharusnya menjadi jalan untuk kita lebih
banyak mengingati Allah...dengan sakit..badan akan jd tidak larat..so bila badan tidak larat dan tiada upaya maka sepatutnya kita juga tiada daya dan upaya untuk melakukan dosa.....bila sakit biasanya kita akan banyak berehat....so gunakan waktu rehat tika sakit itu untuk lebih banyak berzikir dan mendekatkan diri dengan Allah....sakit juga sepatutnya menjadikan kita lebih kuat...kuat fizikal kerana kita mesti bertahan dengan kesakitan...kuat dari segi mental kerana kita kena fikir positif untuk sembuh dan kuat dari segi emosi kerana kita mesti sentiasa mengajar diri untuk redha..:)

Itulah intipati penting dari slot satu jam yang boleh dinukilkan disini...hakikatnya kita bukannya tak tahu bahawa sakit itu ujian Allah..tapi kita buat-buat lupa.. ...itulah kelemahan kita.... Makanya, suka atau tidak..terlupa atau saja-saja buat lupa....sesungguhnya, sakit itu adalah ujian kesabaran daripada ALLAH untuk kita semua yang bergelar hambanya...ambillah ujian sakit itu sebagai satu yang positif. So, macamana nak jadikan sakit itu sebagai positif? Jom kita senaraikan kesan-kesan positif dari sakit..:


1. Sakit akan mengingatkan kita kepada Allah. Logiknya..bila sakit je..pasti akan terkeluar dari mulut kita "Aduh!! Ya ALLAH, sakitnya!”. Kalau tak sakit agaknya nak sebut nama Allah pun susah...


2. Sakit membuatkan kita mensyukuri nikmat ALLAH.... Logiknya masa nilah baru kita nak bersyukur dengan segala macam nikmat yang kita kecapi..nikmat selara makan, nikmat kecergasan dan sebagainya.


3. Sakit membuatkan manusia semakin memahami manfaat sihat. Logiknya..bila sakit barulah kita sedar betapa seronoknya masa sihat...


4. Sakit akan membuat kita sedar diri bahawa kita hanyalah hamba Allah yang lemah. Ibnu Qayyim berkata..

“Kalau manusia itu tidak pernah mendapat cubaan dengan sakit dan pedih, maka ia akan menjadi manusia yang ujub dan takbur. Hatinya menjadi kasar dan jiwanya beku. Kerana itu, musibah dalam bentuk apapun adalah rahmat Allah yang disiramkan kepadanya. Ia akan membersihkan karatan jiwanya dan mensucikan ibadahnya. Itulah ubat dan penawar kehidupan yang diberikan Allah untuk setiap orang beriman. Ketika ia menjadi bersih dan suci kerana penyakitnya, maka martabatnya diangkat dan jiwanya dimuliakan. Pahalanya pun berlimpah-limpah apabila penyakit yang menimpa dirinya diterimanya dengan sabar dan redha.”


5. Sakit itu penghapus dosa..Sabda Rasulullah SAW :“

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”.

(HR. Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571).


6. Cukuplah sampai no 5..sebab bila dah sampai ke point no 5 .. sakit sebagai penghapus dosa..maka kesimpulan yang paling utama yang dapat dibuat ialah..sakit adalah tanda kasih sayang Allah kepada hambaNYA. Yelah...sakit je Subhanallah! Free2 je dapat diampunkan dosa-dosa.. kan itu sudah cukup untuk membuktikan kasih sayang Allah... Everthing is justified, and no Muslim suffers for nothing. So, don't ever complain of sickness, sebab kurniaan penghapusan dosa is worth the pain.


Akhirnya, buat peringatan diriku (yang seringkali jua mengeluh?? opss...mengadu..{mengeluh dan mengadu adalah dua perkara yang amat berbeza}) dan peringatan juga buat sahabat semua....apabila anda dipilih untuk menjalani ujian kesakitan..maka anda telah dipilih oleh Allah sebagai bukti kasih sayang-Nya, kafarah dosa dari-Nya, dan peningkatan darjat hambaNya.


Apa yang penting kita perlu berbaik sangka dengan Allah di atas ujiannya dan sentiasa menanamkan dalam diri kita sifat sabar dan redha..kerana ganjaran sabar dan redha itu amatlah besar..seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sangat menakjubkan urusan orang-orang mukmin itu. Mereka menerima semua persoalan hidup sebagai kebaikan baginya. Apabila kegembiraan yang diterimanya ia akan bersyukur dan itu adalah kebaikan baginya. Dan apabila kepedihan yang diterimanya maka ia bersabar dan itupun merupakan kebaikan pula baginya.”.


Friday, March 16, 2012

Perjalanan bermula..a new episod.



Alhamdulillah...segala puji dan syukur dirafa'kan kehadrat Illahi..
Sesungguhnya ini adalah kurniaanNYA yang tidak pernah putus kepadaku..
DIA tidak pernah menghampakanku walaupun aku seringkali melupakanNYA..
betapa kerdil dan hinanya hambaMU ini..
betapa kasih sayangMU melimpah ruah buat hambaMU ini..
Haza min fadli rabbi...
berkatilah aku dengan keredhaan, rahmat dan kasih sayangMU.
Sesungguhnya perjalanan yang bakal ku tempuhi ini adalah tanda betapa KAU sentiasa dekat denganku..
aku dekat KAU dekat..


Sunday, March 11, 2012

Kau dekat DIA dekat..

Andai ujian demi ujian menimpa diri...
Jangan sesekali berputus asa dariNYA..


Pohonlah dariNya...
ingatlah bahawa semua yang ada hanyalah pinjaman semata
yang kekal hanyalah DIA...


Friday, March 9, 2012

Tiba jua akhirnya..

Alhamdulillah, cuti tiba jua akhirnya di saat-saat kelelahan yang makin terasa. Moga-moga cuti ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk mengembalikan semula tenaga yang makin hilang..mencaskan kembali ion-ion positif serta masa untuk memanjakan diri. Ehmmm....memanjakan diri? haha...nanti kita tengok anekdot sepanjang seminggu ini nanti ye....Happy holidays!! (^_^).

Buat sahabat-sahabat yang bergelar pendidik, jom sama-sama kita refresh-kan diri kita supaya kita akan kembali bertenaga dan ceria dalam perjuangan menabur bakti mendidik generasi harapan
.

Saturday, January 28, 2012

Jom kaut untung!!!

Assalamualaikum...

Sekali lagi..keinginan untuk meng-update blog paling kurang dua minggu sekali masih tidak kesampaian..

Azam masih tinggal azam yang tidak mampu direalisasikan..hambatan tugas dan masa masih tidak mampu dijadualkan dengan baik..kelemahan seorang hambaNya yang sememangnya banyak kelemahan..

Alasan?? ehm..adakah tidak cukup masa? Aduhhh...terasa malu nak digunakan alasan yang tipikal itu.....kerana memikirkan betapa ramainya sahabat2 di luar sana yang masih mampu mengurusan masa dengan baik..
So...adakah itu bermakna masa mereka berlebih?



Huhu...hakikatnya masa kita semua adalah sama...tidak kira di mana sahaja kita berada..setiap dari kita hanya ada 24 jam sehari..(kecuali apabila waktu kematian telah menjemput kita sebelum genapnya 24 jam itu..) same..sama..tetap..hanya 24jam.. tiada seorang pun yang mempunyai masa yang lebih dari orang lain walaupun 0.000001...so..semestinya memang tidak patutlah timbul istilah kesuntukan@ ketidakcukupan masa.....huhu....sekadar peringatan buat diri sendiri yang masih gagal memanfaatkan masa dengan sebaiknya.. :(

Justeru...kerana itulah Allah telah bersumpah :



Di manakah kita? Adakah kita tidak mahu termasuk di dalam golongan yang tidak rugi..adakah kita suka hidup dalam kerugian?? Hakikatnya..hanya mereka-mereka yang tidak waras je yang nak rugi..

So..apa lagi sahabat-sahabat semua...tinggalkan kerugian dan marilah kita sama-sama membuat KEUNTUNGAN yang memang telah dijamin...bukannya one year warranty....tapi jaminan seumur hidup dan jaminan sesudah mati...!! Tak nak ke?? Jommmmmmm....!!

"A journey of a thousand miles begins with a single step."