Pages

Monday, August 19, 2013

Tahu?? atau Faham??

setiap apa berada dan berlaku  disekeling kita akan berkisar kepada dua persoalan utama..
adakah kita tahu??
adakah kita faham??
Tahu dan faham...
adakah tahu itu menunjukkan faham??
adakah boleh kita faham tanpa tahu??
Justeru...walaupun kita mengakui bahawa kita tahu tentang sesuatu...
itu tidak bermakna kita boleh membuat anggapan bahawa kita faham tentang sesuatu perkara itu.

tahu dan faham dua konotasi yang mebawa dua makna yang berbeza.

  
Secara asasnya, tahu hanya memerlukan kita untuk dengar dan lihat, tetapi faham memerlukan komitmen dan usaha yang lebih iaitu dengar, lihat, amal dan alami.

Kita?Al-Fatihah tahu...mengaji satu quran pun tahu... solat tahu..puasa tahu...dan banyak lagi yang kita tahu..tetapi, sejauh mana kita faham?????
Adakah  dengan mengetahui bacaan Al-Quran, itu sudah memadai?
TIDAK! Kita perlu memahami dengan sebenarnya..bukan hanya tahu  dan kenal Al quran tetapi juga faham. 
Mahu tahu dan faham dengan lebih lanjut tentang tahu dan faham??
ingin saya berkongsi satu pencerahan mengenainya...(Sumber: UAI)

 **********************************************************************
Apa beza antara ‘tahu Tuhan’, ‘kenal Tuhan’ dan ‘faham Tuhan’?

Mula-mula kita kena faham maksud tahu, kenal dan faham dulu. Ketiga-tiganya berbeza. Kenal lebih tinggi daripada tahu, dan faham adalah lebih tinggi daripada kenal. Yang paling atas ialah faham, kemudian kenal dan kemudian barulah tahu.

Biasanya disebut ilmu yaqin, ainul yaqin dan haqqul yaqin. Ada juga yang menambah kepada satu tingkat lagi iaitu kamal yaqin.

Contoh.

Seorang pelancong dari Barat yang datang ke Malaysia diberitahu tentang sambal tumis ikan bilis. Sebelum ini dia tidak pernah dengar pun masakan bernama ‘sambal tumis ikan bilis’. Ketika diberitahu, itulah kali pertama dia TAHU adanya masakan yang disebut ‘sambal tumis ikan bilis’.

Ilmu peringkat ini dinamakan ilmu peringkat TAHU ataupun ILMU YAQIN - tahu cerita tetapi tidak pernah melihat dan belum pernah merasa.

Kemudian si pelancong diajak makan tengah hari mengikut hidangan orang-orang Melayu. Dalam hidangan itu ada sambal tumis ikan bilis. Orang tempatan menunjukkan kepadanya, “This is sambal tumis ikan bilis”. Itulah kali pertama si pelancong melihat sambal tumis ikan bilis. Dilihatnya sebagai sejenis masakan lauk berkuah, berwarna merah dan ada ikan-ikan kecil di dalamnya.

Ilmu peringkat ini dinamakan ilmu peringkat KENAL ataupun AINUL YAQIN- tahu cerita dan sudah melihat tetapi belum merasa.

Seterusnya si pelancong dipersilakan menjamah hidangan bersama sambal tumis ikan bilis. Barulah dirasanya pedas, manis, masin, lemak, masam dan lain-lain adunan rasa sambal tumis petai itu. Itulah sambal tumis sebenar.

Ketika ini ilmunya berada di peringkat FAHAM ataupun disebut HAQQUL YAQIN- sudah tahu cerita, sudah disaksikan dan sudah dirasa/ dialami.

Contoh kedua…

Datang beberapa orang beritahu kepada kita ada pokok tumbang merentang jalan raya. Kita hanya tahu ada pokok tumbang daripada cerita mereka dan kita belum melihat pokok tumbang itu. Ilmu peringkat ini adalah ilmu peringkat TAHU ataupun ILMU YAQIN sahaja.

Kemudian kita pergi melihat pokok yang tumbang itu. Memang betullah ada sebatang pokok besar tumbang merentang jalan raya, kita lihat dengan mata sendiri. Ilmu peringkat ini adalah ilmu peringkat KENAL ataupun AINUL YAQIN sahaja, sudah melihat tapi belum tahu hal ehwal ketumbangan pokok itu.

Kemudian kita menyelidik perihal pokok tumbang itu hingga kita faham bagaimana ia boleh tumbang, bila ia tumbang, apa yang menyebabkannya tumbang, apa akibat daripada tumbangnya itu, benarkah ia tumbang dan lain-lain. Ketika ini ilmu kita adalah di peringkat FAHAM ataupun HAQQUL YAQIN.

Contoh ketiga…

Para sahabat berdakwah hingga ke negara China. Mereka perkenalkan Tuhan kepada orang-orang China- “Tuhan kita ada satu sahaja iaitu Allah”. Ada orang-orang China yang percaya. Ketika ini iman mereka adalah di peringkat TAHU ataupun ILMU YAQIN sahaja. Mereka baru tahu Siapa yang sepatutnya disembah tetapi belum tahu bagaimana keadaan Yang Disembah itu.

Orang yang belajar ilmu Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rubbubiyyah sahaja biasanya sampai ke peringkat ini.

Kemudian orang-orang China tadi belajar hingga mereka tahu keadaan Yang Disembah itu. Mereka tahu Allah itu sedia ada sejak awal, tidak boleh mati, tidak terpengaruh dengan warna, ruang, arah, bentuk dan tempat, menguasai segala-galanya, tidak sama dengan makhluk, menciptakan syurga dan neraka, mencipta semua makhluk, memberi wahyu dan sebagainya. Mereka juga tahu sifat-sifat yang mustahil bagi Allah. Iman peringkat ini adalah iman peringkat KENAL ataupun AINUL YAQIN. Melalui kajian ataupun pembelajaran mereka, mereka sudah menyaksikan bukti-bukti tentang Yang Disembah itu tetapi belum ‘MENYAKSIKAN’ Yang Disembah itu sendiri. Peringkat ini dinamakan FAHAM ataupun HAQQUL YAQIN.

(* Perkataan ‘MENYAKSIKAN’ Yang Disembah dalam ayat tadi adalah istilah sufi yang tidak dapat dihurai dengan perkataan. Ia tidaklah sama dengan perkataan ‘menyaksikan’ sebagaimana yang biasa kita guna. Harap maklum)

Peringkat seterusnya, mereka yang dikurniakan kebolehan oleh Allah dapat pula ‘MENYAKSIKAN’ Allah, ataupun ‘MEMANDANG WAJAH ALLAH’ ataupun ‘MERASAI SENDIRI’ Allah. Inilah yang dikatakan beriman kepada Allah hingga ke tahap Haqqul Yaqin.

(* Perkataan-perkataan berhuruf besar adalah istilah sufi yang tidak dapat dihurai dengan perkataan melainkan pemahaman. Maksud perkataan-perkataan itu tidaklah sama dengan maksud perkataan-perkataan yang biasa kita gunakan)

Justru, ada ungkapan berbunyi:

Ahli fiqh menemui Allah dengan jalan mengkaji dalil-dalil al-Quran.

Ahli ilmu kalam menemui Allah dengan jalan berfikir

Dan ahli tasauf menemui Allah dengan jalan ‘MERASA SENDIRI’.

Manakah yang terbaik?

Yang terbaik ialah yang mengambil ketiga-tiga jalan dan menguasai ketiga-tiganya.

Jadi, dengan penerangan ringkas lagi dhaif itu tadi, diharap dapatlah memahamkan para pembaca akan perbezaan antara tahu, kenal dan faham. Seterusnya dapat pula memahamkan pembaca akan perbezaan antara ilmu yaqin, ainul yaqin dan haqqul yaqin.

*********************************************************************
 Tahu dan faham??
Moga-moga kita menjadi orang yang tahu dan faham...
tuntutlah ilmu..lapangkan dada...muhasabah diri..
in shaa allah kita dapat mencapai tahu dan faham.


 

Assalamualaikum wbt.

Sedar tak sedar...Ramadhan telah pun berlalu meninggalkan kita....adakah kita bakal menemui ramadhan lagi di tahun hadapan...jawapannya tidak kita ketahui...

Namun..usah jadikan pemergian Ramadhan sebagai alasan untuk kita kembali kepada hidup lagha sebelum Ramadhan..seharusnya dan sewajarnya..didikan yang kita terapkan sepanjang ramadhan..solat bejemaah..tilawah quran serta tadabbur ayat-ayatnya tetap diteruskan dalam amalan hidup kita sehari-hari....itu barulah tandanya kita kasihkan Ramadhan dan rindukan Ramadhan...

Ingatlah...beramal bukan untuk sebulan.....tapi beramal adalah sepanjang hayat...Ramadhan hanyalah satu fasa untuk kita mengenali kekuatan dan kelemahan diri...jangan persiakan tarbiyah Ramadhan yang telah kita lalui...dan paling penting...jangan kembali berteman mesra dengan sang iblis durjana....

Salam syawal...Salam fitrah..sama-sama kita berusaha mensucikan diri sebelum kembali mengadap Illahi.
 







Saturday, July 13, 2013


Assalamualaikum..bertemu kembali...


Alhamdulillah kita masih dipanjangkan umur dan ditemukan dengan Ramadhan kareem buat kesekian kalinya......
hakikatnya.....telah banyak kali Ramadhan kita tempuhi.....namun......berbekaskah didikan Ramadhan dalam diri kita??
adakah Ramadhan hanya sekadar menahan nafsu lapar dan dahaga tapi kita memahami falsafah di sebaliknya??


Ketika perut sepatutnya tidak memikirkan tentang makanan dan minuman......jiwa dan hati perlu mengambil tempat......hati dan jiwa perlu lebih cakna.....lebih sensitif dengan apa yang berlaku..... lebih memahami.....kerana puasa perut kita lapar......maka kita akan lebih memahami rasa lapar..kita cakna dan mengerti erti kesusahan serta kelaparan......kerana puasa badan kita lesu.....maka kita seharusnya mempunyai empati terhadap orang yang  terpaksa bersusah payah membanting tulang bekerja keras walaupun ketika berpuasa.....inilah antara didikan yang mahu dilahirkan dalam universiti Ramadhan.....
Puasa menjadikan kita lebih peka..dan menghadirkan keinsafan....



Jom kita muhasabah diri bersama......semoga universiti Ramadhan kali ini membuka lembaran baru dalam kehidupan kita..



Friday, May 3, 2013

Assalamualaikum..
sekian lama bertemu kembali..just nak ucapkan..
selamat menunaikan kewajipan anda...
walaupun hanya satu undi..
satu...
tapi impaknya amat besar sekali...
jom cakna!! jom undi!!

Monday, May 21, 2012

Demonstrasi menurut Perspektif Islam: Pandangan Dua Sisi..

Assalamualaikum...

bertemu lagi...tanpa wajah dan suara...

sebenarnya tengah dalam keadaan 'stress' mengejar dateline yang semakin hampir namun tugasan tidak juga selesai... idea yang tersekat..... hilang punca..... penulisan yang lari dari topik.... pengenalan cerita lain..... isi cerita lain..... kesimpulan cerita lain..hasilnya.... semuanya jadi haru biru...

namun....dalam menggagahkan diri untuk menyelesaikan juga tugasan-tugasan ini demi menyahut seruan menuntut ilmu...jari ini mengklik blog demi blog untuk mencari dan berkongsi ide...rasa tertekan terhilang sedikit apabila membaca perkongsian-perkongsian rakan-rakan blogge..... dan untuk hari ini.... hati amat tertarik untuk berkongsi satu entri dari blog yang diziarahi :

http://hjanhar.blogspot.com

mari kita sama-sama cuba memahami...

SURAT TERBUKA BUAT PENSYARAH DAN PENYELIDIK

1. Menonton rakaman Astro 502 yang berlangsung jam 10.30 malam pada 30 Jun 2011 yang lalu, menimbulkan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan. Dua ahli panel membahaskan tajuk yang berkaitan dengan demonstrasi. Panel pertama adalah pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan panel kedua adalah seorang penyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Kuala Lumpur, tajuk yang dibincangkan ialah Demonstrasi Dari Kacamata Islam.

2. Apabila ingin melihat sesuatu isu dari kacamata Islam, maka kita perlu adil dan amanah dalam perbincangan yang diadakan. Menyebut satu pandangan sahaja dan mendiamkan pandangan lain yang pelbagai yang sepatutnya juga diketengahkan adalah bukan metodologi yang baik untuk seorang pensyarah dan penyelidik, kerana kesannya ialah kesimpulan hasil kajian yang tidak tepat dan mantap. Tidak dinafikan hampir keseluruhan yang disebutkan oleh kedua-dua ahli panel adalah benar, tetapi ia hanya dari satu sisi sahaja. Tidak menyebut sisi yang lain dianggap menyembunyikan fakta dan kebenaran. Perlu ditekankan bahawa kacamata tidak hanya mempunyai satu cermin. Jadi tulisan ini ingin menyentuh satu lagi sisi yang lain, agar dapat dikembalikan semula cermin kedua yang melengkapkan kacamata tadi.

3. Pada peringkat awal lagi panel pensyarah telah membuat kesimpulan bahawa demonstrasi bukan daripada Islam hanya dengan kaedah logik dalam teknik menanyakan soalan. Ketika diajukan soalan: Demonstrasi dari mana? Lantas dengan mudah beliau menjawab: Apabila soalan itu keluar, memang jelas menunjukkan demonstrasi bukan daripada Islam. Ini bukan kesimpulan yang lahir daripada kajian dan hujjah, bahkan ia tiada nilai ilmiah. Tambahan pula perumpamaan yang yang cuba dibawakan sebagai qias iaitu nasihat, adalah qias yang tidak cukup syarat, kerana hukum yang dinyatakan bukan hukum yang sama. Panel pensyarah juga menyatakan bahawa berlaku perselisihan yang kuat dalam perkara ini. Sedangkan apabila wujud perselisihan maknanya ada yang membenarkan dan ada yang tidak membenarkan. Kedua-duanya adalah pandangan yang perlu dibahaskan kerana sudah pasti kedua-duanya mempunyai dalil yang kuat, kerana jika tidak, mana mungkin beliau menyebut berlaku perselisihan yang kuat. Bahkan semua perbuatan manusia tidak akan terlepas daripada lima hukum taklifi sebagaimana yang dibahaskan dalam ilmu Usul Feqh, termasuklah juga demonstrasi, kerana ia adalah perbuatan manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 36 yang bermaksud:
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, serta hati, semua anggota-anggota tersebut tetap akan dipertanggungjawabkan tentang apa yang dilakukannya.

4. Ketika panel pensyarah menyamakan demonstrasi dengan apa yang berlaku pada zaman Saidina Uthman RA selaku khalifah ketiga, sebagai demonstrasi yang membawa kepada kewafatannya, definisi yang mana yang digunakan oleh beliau? Kerana terdapat pelbagai istilah yang mempunyai definisi yang berbeza-beza, antaranya al-bughat, al-mu’aradhah, khuruj ‘ala al-imam, al-Khawarij dan sebagainya. Definisi yang berbeza-beza menyebabkan hukum juga berbeza-beza. Menyamakan semuanya boleh menyebabkan kecelaruan hukum. Menyamakan semuanya juga menyebabkan semua demonstrasi perlu disamakan hukumnya, tidak kira siapa yang melakukannya dan di mana-mana negeri sekalipun. Oleh itu, beliau sepatutnya mendefinisikan dahulu, yang manakah yang beliau maksudkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

5. Hakikatnya demonstrasi itu berbagai-bagai, jika demonstrasi yang bertujuan untuk membunuh dan membuat huru-hara maka ia ditegah dan diharamkan oleh Islam, sama seperti yang berlaku kepada khalifah Uthman RA. Tetapi terdapat demonstrasi yang bertujuan untuk menyuarakan pandangan, sama ada pandangan menyokong atau pandangan membantah yang dilakukan secara tertib dan aman, seperti demonstrasi membantah serangan Amerika ke atas Iraq, maka sukar untuk kita simpulkan bahawa Islam menegahnya. Larangan dalam feqh Islam juga ada konteksnya, kerana terdapat larangan bukan kerana zatnya haram, tetapi ia haram kerana faktor lain. Boleh jadi panel pensyarah lebih arif tentang hukum jual beli pada waktu Jumaat yang hukumnya haram, tetapi jual belinya tetap sah.

6. Bantahan dan pandangan lain dalam sesuatu perkara telah wujud sejak zaman nabi SAW. Maknanya nabi SAW seorang pemimpin yang juga mendapat bantahan. Pernah seorang sahabat bernama al-Hubab bin al-Munzir membantah nabi SAW ketika menentukan tempat perkhemahan tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra. Yang menariknya nabi SAW menerima bantahan dan pandangan tersebut lantas melaksanakannya. Diriwayatkan bahawa al-Hubab memberi pandangan kepada nabi SAW:
Kami berpandangan bahawa perlu kuasai punca air keseluruhannya bukan hanya satu punca air sahaja, nescaya ke atasnya kita akan be
rhadapan dengan mereka. (Riwayat al-Baihaqi)

7. Terdapat banyak lagi contoh bantahan yang berlaku pada zaman nabi SAW, ada yang diterima dan ada yang ditolak, yang penting bantahan tetap wujud. Begitu juga pada zaman Khulafa’ al-Rashidin. Contohnya pada zaman Umar al-Khattab RA, ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan Umar kerana tidak menyerahkan tanah Iraq, Syam dan Mesir kepada tentera Islam. Tentera Islam yang jumlahnya ramai itu telah meminta kepada Umar RA supaya disamakan dengan ghanimah (harta rampasan perang) iaitu diserahkan kepada mereka sebagaimana yang berlaku dengan tanah Bani Nadhir dan Bani Quraidzah. Ini menunjukkan pandangan lain dan bantahan memang wujud. Ia tidak boleh dihapuskan dan dimatikan dengan menghukumkannya haram, sebaliknya ia perlu diurus. Bagaimana nabi SAW dan Umar RA mengurus bantahan inilah yang wajar diketengahkan.

8. Bagi panel kedua pula, sebagai peyelidik di Kedutaan Arab Saudi, Kuala Lumpur nampaknya agak keliru di antara ‘Am dan Mutlak, kerana secara jelas beliau telah menyamakan di antara kedua-duanya. Sekiranya orang awam yang keliru di antara kedua-duanya dengan menyamakannya tidak menjadi masalah, kerana mereka adalah orang awam yang tidak mendalami ilmu al-dalalat, tetapi kalau seorang yang jawatannya penyelidik masih keliru dan menyamakan kedua-duanya, maka dia perlu lakukan lebih banyak lagi penyelidikan agar dapat mengetahui perbezaannya. Paling minimum yang perlu diketahui perbezaannya ialah ‘Am adalah syumuli (menyeluruh), manakala mutlak adalah badali (ganti). Panel penyelidik ketika membicarakan kewajipan taat kepada pemimpin telah memetik dalil daripada firman Allah SWT daripada surah al-Nisaa’ ayat 59 bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah, dan kepada uli al-amri (orang-orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.

9. Memang lafaz uli al-amri adalah ‘am dari aspek cara perlantikan iaitu semua cara, sama ada syura, pewarisan (waliyu al-‘ahd) dan sebagainya, tetapi ia tidak mutlak sebagaimana yang didakwa. Taat kepada Allah dan rasulNya adalah mutlak, tetapi taat kepada uli al-amri adalah tidak mutlak kerana ia diqaidkan (terikat) dengan syarat selagi tidak menyuruh melakukan maksiat. Imam al-Qurtubi (671H) menyatakan tentang ayat ini:
Berkata Ibn Khuwaiz Mindad: Dan adapun taat kepada pemerintah, maka ia wajib pada perkara ketaatan kepada Allah, dan ia tidak wajib pada perkara maksiat kepada Allah. (Al-Jami’ Li Ahkam al-Qur’an)

10. Ini juga yang telah disebut oleh para mufassirin yang lain seumpama al-Tabari (310H) dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan ‘An Ta’wil Aiy al-Qur’an, Ibn al-‘Arabi al-Maliki (543H) dalam Ahkam al-Qur’an, Ibn Kathir (774H) dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, dan lain-lain lagi. Penyelidikan yang dilakukan oleh panel yang tidak menjumpai tidak mutlaknya ketaatan ini, sebaliknya menyamakan pula di antara ‘am dan mutlak, tidak menggambarkan jawatannya sebagai penyelidik. Kalaupun ada keuzuran untuk menemuinya dalam kitab-kitab tafsir, hadith yang digunakan oleh beliau juga sebenarnya sudah cukup untuk menjadikannya muqaiyad (terikat), namun malangnya beliau tidak membaca matan hadith dengan lengkap yang terdapat dalam riwayat yang lain. Diriwayatkan daripada Ummu al-Husain bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Wahai manusia bertakwalah kepada Allah, walaupun dilantik ke atas kamu seorang hamba Habsyi, maka hendaklah kamu dengar dan taat, selagi mana dia menegakkan kitab Allah dalam (menghukum) kamu. (Riwayat al-Tirmizi)

11. Jelas dalam hadith ini ia tidak mutlak, sebaliknya ia diqaidkan (diikat) dengan syarat mesti melakukan hukuman dengan kitab Allah. Mustahil beliau tidak menjumpai matan ini dalam penyelidikan yang dijalankan, lalu tidak menyebutnya dengan lengkap. Jadi, sebagaimana kitab-kitab feqah mewajibkan mentaati pemerintah yang dilantik dengan apa cara sekalipun, kitab feqah yang sama juga, bahkan kitab-kitab tafsir dan syarah hadith mensyaratkan pemerintah yang bagaimana yang wajib ditaati, kerana ia tidak mutlak.

12. Ibn al-Qaiyim al-Jauziyah (751H) merakamkan kata-kata Ibn ‘Aqil yang membuat komentar terhadap kata-kata Imam al-Shafi’e (204H) ketika menyebut:
Tiada politik melainkan apa yang menepati syara’. Ibn ‘Aqil berkata: Jika yang engkau (Imam al-Shafi’e) maksudkan daripada kata-katamu tiada politik melainkan apa yang menepati syara’ iaitu apa yang tidak menyalahi yang disebut oleh syara’ maka ia betul. (Ibn al-Qaiyim, Turuq al-Hukmiyah, hlmn 25)

13. Panel yang merupakan penyelidik juga ketika menceritakan kisah seorang pemimpin yang zalim iaitu al-Hajjaj bin Yusof al-Thaqafi (95H), dengan mudah membuat rumusan bahawa tidak ada seorangpun sahabat atau ulama’ pada waktu itu yang mengatakan boleh memerangi al-Hajjaj. Mungkin beliau keliru dengan penyelidikannya kerana asyik mencari fatwa yang membolehkan memerangi al-Hajjaj. Kisah al-Hajjaj membunuh anak para sahabat, tabi’in dan orang ramai, sudah cukup membuktikan berlakunya bantahan dan penentangan. Masih memerlukan fatwa juga ke? Kerana mereka membantah dan menentanglah mereka dibunuh. Tidak akan dibunuh jika tidak membantah dan menentang. Terlalu sukarkah untuk memahami mantuq dan mafhum ini. Imam al-Tirmizi (279H) menyatakan:
Dia (al-Hajjaj) dipanggil pendusta al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid wa al-Mubir al-Hajjaj bin Yusof… Hisham bin Hassan berkata: Mereka mengira jumlah yang dibunuh oleh al-Hajjaj sebagai sabar seramai seratus dua puluh ribu orang. (Sunan al-Tirmizi)

14. Dicadangkan juga kepada panel, sebagai seorang penyelidik agar memberikan komentar terhadap tindakan beberapa tokoh para sahabat seperti Saidina Husin bin Ali dan Abdullah bin Zubair pada ketika itu, jika ingin mengetahui wujud atau tidak mereka yang menentang dan memerangi al-Hajjaj. Pengkaji sejarah sedia maklum akan pendirian mereka berdua. Begitu juga dengan kumpulan para tabi’ien seumpama al-Sya’bi, Ibn Abi Laila dan Sa’id bin Jabir yang telah keluar bersama Ibn al-Asy’ath daripada kepimpinan al-Hajjaj. Hayati dan telitilah kata-kata Imam Ahmad bin Hanbal (241H) ketika menceritakan bagaimana Sa’id bin Jabir dibunuh dengan kejam oleh al-Hajjaj. Puncanya kerana Sai’d membantah dan menentang al-Hajjaj. Lebih cermat dan selamat jika panel tidak malakukan ta’mim (pukul rata) dalam kenyataannya, kerana ia boleh terjerumus kepada kesilapan dan menunjukkan kelemahan penyelidikannya.

15. Elok juga dikongsikan beberapa pandangan imam mazhab yang sangat tegas tentang politik untuk kita memahami suasana yang berlaku pada zamannya. Imam Abu Hanifah (150H) sebagai contoh menegaskan bahawa Khilafah Islamiah yang sebenar telah berakhir dengan pembunuhan Saidina Ali RA, dan menyatakan bahawa pemerintahan Bani Umiyah dan Abbasiyah adalah tidak syar’ie. Buktinya Imam Abu Hanifah menyuruh orang ramai supaya memberikan sokongan kepada Ibrahim al-Imam dan saudaranya Muhammad al-Nafs al-Zakiyah, iaitu ketika keluar daripada kepimpinan al-Mansur al-‘Abbasi (158H). (rujuk Dr. Mustafa al-Shak’ah, Islam Bi La Mazahib, Beirut, hlmn 359). Selain itu, Imam Abu Hanifah adalah seorang yang sangat menghormati dan mengutamakan hak kebebasan individu, tidak ada sesiapapun yang boleh merampasnya. Ini dapat dikesan dalam feqhnya seperti menegah wilayah ke atas wanita yang baligh dan berakal, begitu juga larangannya dalam menahan harta bagi seorang yang berakal sama ada safih atau tidak. Imam Abu Hanifah juga berkata:
Pemilihan umum bagi seorang khalifah wajib lebih dahulu daripada perlantikan kekuasaannya. (Abu Zuhrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah, Dar al-Fikr al-‘Arabi, jilid 2, hlmn 166)

16. Imam Malik bin Anas (179H) pula terpaksa berhadapan dengan seksaan kerana bantahannya secara terbuka terhadap cara perlantikan khalifah yang tidak betul pada waktu itu. Imam Malik dengan tegas menyebut hadith nabi SAW tentang talak yang tidak jatuh jika dilakukan dengan cara paksaan. Ia telah menyebabkan kemarahan Ja’far bin Sulaiman (ayah saudara al-Mansur), gabenor Madinah kerana kefahaman daripadanya ialah tidak sah bai’ah yang beliau perolehi hasil daripada cara paksaan. Dengan itu Imam Malik diseksa kerana kenyataannya itu. Namun, orang ramai bangkit dan membantah beramai-ramai terhadap tindakan yang dikenakan kepada Imam Malik yang akhirnya menyebabkan Khalifah al-Mansur (158H) tunduk dan akur dengan kehendak orang ramai, lalu memecat Ja’far daripada jawatannya dan membebaskan Imam Malik.

17. Ini adalah sebahagian daripada persoalan yang timbul selepas menonton rakaman perbincangan kedua-dua ahli panel pensyarah dan penyelidik beberapa hari lepas. Ia hanya pandangan dari sisi yang lain yang mungkin tidak sempat dikupas dengan lebih terperinci oleh kedua-dua ahli panel kerana kekangan dan hambatan masa.

18. Kesimpulannya, menggunakan kaedah yang betul dalam sesuatu bidang menjamin kemantapan dan ketepatan kesimpulan, ia lebih utama apabila dikaitkan dengan kacamata Islam. Buat mereka, surat ini terbuka.

Sunday, May 13, 2012

Dari Lubuk Hati Anak...

Berkongsi nukilan suami tercinta ZULKIFLI ABD MUBI...
buat insan yang bergelar....
IBU, MAK, UMI, MAMA, MUMMY, BONDA etc..




Al fatihah buat
bonda Syarifah Akbal Hanum Syed Hussein Al Kherid
&
bonda Saadiah binti Abdul Manan
Semoga kalian tenang di negeri abadi...

Ibu,
Kau yang mengerti,
sejak ku dikandung di alam yang Zulam,
Kau sinarkan dengan zikir, nyanyian memuji penciptaan Ilahi,
Walaupun Kau merintih dalam diam,
Walaupun Kau penat melayan kesibukan harian,
Walaupun Kau lesu melayan fitrah semulajadi seorang Ibu,
Namun Kau tetap tabah, sabar,
Meredhai fitrah kehidupan.

Ibu,
Kau yang mengerti,
Aku dilahirkan cukup sempurna,
Fizikal aku dibalut dengan kain putih,
Rohani aku disalut dengan alunan azan yang mendayu,
Aku menangis tanpa paksaan,
Terkebil-kebil mataku memandang alam,
Tidak memahami, Tidak mengetahui,
Ciptaan Ilahi membawa erti,
Kelahiran bermakna penuh menanti.

Ibu
Kau yang mengerti,
Bermulalah kehidupanku dengan kesengsaraanmu,
Dengan maulidku,
Tiada sesaat yang menyelesakanmu,
Hidupmu bertemankan kesakitan,
Jasadmu bertemankan kelesuan,
Batinmu bersahabatkan keemosian,
Namun rohmu tetap utuh berpaksikan keimanan,
keredhaan dan Ketakwaan.

Ibu,
Kau yang mengerti,
Semenjak aku dilahirkan,
Hingga menjadi seorang graduasi,
Sakit, peningku kau tangani,
Sedih dan tawaku kau layani,
Tanpa mengharapkan belas,
Tanpa mengimpikan balasan,
Nur Keikhlasan terpancar,
Dek kasih bersemai dinaungi ilahi.

Ibu,
Aku yang tidak mengerti,
Jasamu ibarat gunung,
Kasihmu tiada bersempadan,
Harapanmu tinggi melangit,
Ku alpa, ku leka,
Kasihku tidak sehebatmu,
Jasaku tidak setandingmu,
Prihatinku tidak sepeka denganmu,
Mentaati nafsu mengingkari tuntutan Rabb.

Ibu,
Aku yang mengerti,
Tawa riangmu tiada di sisi,
Sedih, pedih hatimu tiada diubati,
Hanya kenangan menyegarkan memori,
Kau pergi di saat anakmu menyedari,
Budimu tak terbalas, kasihmu tak aku puas,
Seluruh alam diberi tak setimpal pengorbananmu,
Pengorbanan seorang Ibu,
Hanya engkau yang tahu.

Ibu,
Aku semakin mengerti,
Walaupun Kau menghadap Ilahi,
Namun aku tetap anak,
Anak yang mendoakan kebahagiaanmu,
Anak yang mendoakan keselamatan dan kesejahteraanmu,
Anak yang mencintai dan merinduimu selalu,
Anak yang memohon pertolongan daripada Ilahi,
Moga kau di sana, tenang dan damai,
Setenang dan sedamai wajah suci murnimu,
Dinaungi dan dirahmati Ilahi,
Dikelilingi roh-roh muttaqin,
Jannatul firdaus kuidami dan kuhajati,
Untuk Ibu yang ku amat sayangi
Hanya itu yang kumampu lafazkan dan tunaikan.
Amiin, Ya Rabbal 'Alamin